Nanobots, nanomites ataupun nano emas adalah teknologi terkini yang
disebut-sebut berupaya untuk menghasilkan superhuman atau dalam bahasa
mudahnya manusia hebat. Beberapa tahun yang lalu, rancangan bersiri Jake
2.0 pernah ke udara di kaca televisyen yang menampilkan bagaimana
seorang lelaki sederhana yang bertugas sebagai juruteknikal komputer
berubah menjadi seorang superhuman setelah serpihan nanomites memasuki
pembuluh darahnya secara tidak sengaja. Mengangkat benda berat,
mendengar bunyi dari jarak 10 kilometer, melihat menembusi dinding
konkrit dan berlari pantas adalah kebolehan yang mampu dilakukannya.
Sedar atau tidak, kita sebenarnya belum berjaya untuk menggunakan
satu lagi teknologi yang mampu untuk menghasilkan manusia hebat yang
lebih hebat. Teknologi ini telah wujud 1400 tahun yang lalu dan telah
pun dibuktikan kemampuannya untuk menghasilkan superhuman yang mantap
dari kaca mata Islam. Teknologi yang dimaksudkan ialah qiamullail.
Qiamullail boleh diertikan sebagai sembahyang malam, bermula daripada
selesainya solat Isya’ hinggalah masuknya waktu Subuh. Sebelum turunnya
perintah Allah berkenaan qiamullail ini, umat Islam di Makkah pada
ketika itu masih lagi sembahyang secara sembunyi-sembunyi di
lembah-lembah. Imam Ahmad meriwayatkan dari Aisyah ra. bahawa dengan
turunnya ayat 1-7 daripada surah al-Muzammil ini maka qiamullail menjadi
ibadah yang wajib. Kewajipan ini bertahan selama setahun hingga
akhirnya di akhir surah tersebut Allah menurunkan keringanan sehingga
qiamullail menjadi sunnah hukumnya.
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah
pada malam hari kecuali sebahagian kecil, iaitu separuhnya atau kurang
sedikit daripada itu, atau lebih daripada itu, dan bacalah Al-Quran itu
dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang
berat kepadamu. Sungguh, bangun malam itu lebih kuat dan lebih berkesan.
Sesungguhnya pada siang hari engkau sangat sibuk dengan urusan-urusan
yang panjang.”
Allah tidak memerintahkan qiamullail untuk mempersulit manusia bahkan
sebenarnya untuk memperkuatnya. Dengan qiamullail, seorang Muslim akan
memperoleh tenaga tambahan yang dikatakan ‘super’ untuk menggalas
tugas-tugas yang sangat berat. Bagaimana proses munculnya kekuatan
tersebut? Tentulah tidak dengan tiba-tiba, tetapi semua itu melalui
proses merutinkan qiamullail dalam hidup hinggalah ke tingkatan
kekhusyukannya.
Superhuman pada kaca mata Islam bukanlah seorang manusia yang kebal
tubuh badan mahupun yang boleh terbang ke udara, tetapi superhuman ini
adalah mereka yang beriman, bertakwa dan memiliki darjat yang tinggi
lagi mulia di sisi Allah SWT. Mereka kebal daripada segala maksiat,
mereka mampu memikul beban berat tugas sebagai khalifah di muka bumi,
mereka mampu melihat kebesaran Allah dan mereka juga mampu mendengar
arahan Allah dan Rasul dengan cahaya hati mereka.
Jadi, apakah kehebatan qiamullail sehinggakan Rasulullah saw
konsisten mengamalkannya hingga kedua-dua tapak kakinya pecah-pecah?
Hebatkah qiamullail sehingga Salahudin al-Ayubi memilih mereka yang
bangun malam sebagai barisan mujahidin paling hadapan untuk menggempur
musuh? Ataupun sehingga Umar Abd Aziz berkata, “ Bagaimana mata ini
dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia
akan kembali di antara dua tempat..” berulang-ulang?
Menjadi ahli syurga.
Dari Abdullah bin Salam r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w.
bersabda;”Hai sekalian manusia, ratakanlah salam, berikanlah makanan,
bersolatlah di waktu malam sedang para manusia sedang tidur, maka engkau
semua akan dapat memasuki syurga dengan selamat.” (HR Tirmidzi).
Menjadi orang yang bertakwa
Firman Allah swt: “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah di
tempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air-mata air
terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan
rahmat yang di berikan kepadanya oleh TUHAN mereka.Sesungguhnya mereka
di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikkan . Mereka
sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka
tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu
beristigfar kepada ALLAH (memohon ampun).”- Surah al-Zariyat : 15-18
Menjadi orang soleh
Rasulullah s.a.w bersabda, “Hendaklah kamu semua menetapi solat
malam, sebab yang demikian itu adalah perilaku orang-orang yang soleh
sebelum kamu.” (HR Tirmidzi)
Darjatnya tinggi di sisi Allah
“Dan pada sebahagian malam hari, sembahyang
tahajudlah kamu sebagai satu ibadat tambahan bagimu. Mudah-mudahan
Tuhanmu mengangkatmu ke tempat terpuji.” – (Surah al-Isra, ayat 79).
Allah mengasihinya
Dari Abu Hurairah r.a., sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun tengah malam lalu dia
mengerjakan sembahyang dan membangunkan isterinya untuk turut sama
bersembahyang.”
“Kalau isterinya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya. Dan
Allah mengasihi seorang wanita yang bangun tengah malam untuk
mengerjakan sembahyang lalu dia membangunkan suaminya untuk turut yang
sama. Kalau suaminya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya.”
(HR Abu Daud dengan isnad yang sahih)
Doanya mustajab
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya dari sebahagian malam itu
ada satu waktu yang tidak menyamai kebaikannya bagi seorang muslim untuk
memohonkan sesuatu yang baik kepada Allah ta’ala, melainkan Allah pasti
akan mengabulkannya. Demikian itu ada pada setiap malam.” (HR Muslim)
Kajian saintifik juga telah banyak membuktikan bahawa solat umumnya
dan solat malam khususnya mempunyai pelbagai kesan positif terhadap
kesihatan tubuh badan. Sejenis udara segar pada satu pertiga malam
sangat baik untuk pembersihan paru-paru, yang mana udara ini akan hilang
sebaik sahaja masuknya waktu subuh. Kadar denyutan jantung juga menjadi
rendah ketika sujud, keadaan ini amat baik untuk kesihatan jantung yang
begitu kuat bekerja mengepam darah pada setiap masa.
Apa lagi hendak dikata? Teknologi sudah terpampang di hadapan mata,
cuma kita sahaja yang belum memanfaatkannya untuk membentuk diri menjadi
manusia yang hebat. Ingat, syurga hanya menerima orang-orang yang
hebat! Akhir kalam, sedikit tips untuk membudayakan qiamullail dalam
hidup:
- Percayalah kepada Allah. Allah sentiasa bersama kita dan Dia tidak
akan menyusahkan kita. Hampirilah Dia dan mohonlah pertolongan
daripadaNya.
- Cinta. Perasaan cinta adalah motivasi yang kuat. Jika kita bercinta
dengan Allah, nescaya bibit-bibit rindu padaNya akan mendorong kita
untuk mencariNya pada setiap malam.
- Qiamullail itu mudah! Ia tidak sulit, maka jangan mempersulitkannya. Solatlah mengikut kemampuan, walau sekadar dua rakaat.
- Kenali jam biologi anda. Tidurlah pada waktu yang tepat supaya dapat
bangun pada waktu yang sesuai dengan diri. Sama ada anda perlu tidur
panjang atau pendek bergantung kepada genetik anda!
- Maafkanlah diri sendiri. Usahlah terlalu keras dalam menghukum diri
kerana gagal bangun solat malam dan janganlah pula berputus asa.
Bukankah Allah itu Maha Pengampun? Teruskan menyemai niat sebelum tidur
dan berusahalah untuk bangun mengutip hasil semaian itu.
Copy paste from
sini