"Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu main bola"
"Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu tidur, cikgu suka tidur"
Dialog dari felem Masam Masam Manis tentang Shaari yang suka tido dalam kelas. Siapa yang jadi cikgu jangan tiru perangai Cikgu Shaari ye. Takut rezeki tak berkat.
16 Mei. Standard lah. Hari Guru.
Tanpa guru, tiadalah berkembang ilmu ke serata pelusuk alam. Guru pertama yang mengajar kita erti kehidupan ialah ibu dan ayah. Merekalah yang mengajar kita merangkak, berenang, bercakap. Teringat satu ketika dahulu aku pernah kena marah dengan mak sebab makan nasi guna tangan kiri, masa tu rasanya belom masuk tadika lagi. Kidal punya pasal. Masuk tadika tu dah boleh guna tangan kanan.
Pastu masuk tadika. Sekolah rendah. Sekolah menengah. Sekolah Mengatas. Matriks. Unibersiti. Matriks Reloaded. Semua yang mengajar aku ialah guru. Mungkin gelarannya berbeza, cikgu, pensyarah, ustaz, ustazah. Namun semuanya tetap menggalas tanggungjawab yang sama untuk mengajar anak bangsa menjadi insan yang berguna. Pergh... ayat dah macam karangan bahasa Melayu darjah 6.
Dalam famili pun ada tiga orang adik beradik aku jadi cikgu. Tiga-tiga kawin dengan cikgu. Aku sendiri pon pernah dapat temuduga untuk guru J-QAF tapi tak pergi interview sebab rasa tak layak nak mengajar subjek pendidikan Islam. Perangai pon gila-gila sket. Degree pon takde related langsung ngan subjek pengajian Islam. Even ada member yang cakap rugi tapi biarlah orang ikhlas mengajar dapat kerja tu, ye dak? Ceh, sembang macam dah dapat je, padahal baru temuduga. hewhewhew.
Yang mengajar mengaji Al-Quran pulak aku tak panggil ustazah tapi panggil "Makcik". Dah lekat nama tu zaman berzaman sejak dia mula mengajar. Tapi beliau dah meninggal, masa tu aku kat Matriks rasanya. Tak sempat pegi melawat masa Allahyarham meninggal. Banyak gak kenangan kat situ, seberang jalan tempat dia mengajar tu hospital psikiatri. Kadang-kadang ada sorang dua orang gila terlepas datang kacau budak-budak mengaji. Yang gila curi basikal pon ada. Aku pon gila gak, tapi gila kat cucu makcik tadi, muka iras-iras Siti Nurhaliza, lagi lawa dari Siti kot. Crush dalam hati sajalah. huhuuhu.
Cikgu-cikgi yang mengajar aku selama ni kebanyakan dah lost contact tapi budi dan jasa cikgu tetap saya kenang.
Cuma kerjaya sebagai guru zaman sekarang lebih mencabar berbanding zaman dahulukala. Dulu rotan tu dah kira perkara biasa. Dulu budak-budak tak repot kat mak ayah kalau kena denda kat sekolah, sebab takut dapat 'hukuman tambahan' dari parent. Sekarang kena jentik sket mak ayah dah nak saman bagai. Tapi tak dinafikan ada certain kes yang memang guru bersikap melampau sehingga membawa kecederaan serius atau membawa kepada kes-kes rogol atau jenayah mahupun perkauman.
Dulu pon ada kes mak ayah serang sekolah tapi tak ketara. Mungkin juga dulu takdak twitter facebook dan juge insetageram. Tapi itu zaman dulu. Zaman sekarang ikut zaman sekarang lah.
Sajak kat bawah ni adalah nukilan Allahyarham Usman Awang@Tongkat Warrant aku tujukan kepada semua guru-guru di seluruh dunia, yang pernah mengajar aku mahupun tidak, guru besar, guru disiplin serta tak lupa Narayan Shankar,pengetua sekolah Gurukul.
Sajak Guru Oh Guru - Usman Awang (1979)
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
Selamat Hari Guru Cikgu!
Selamat Hari Jumaat juga.
Selamat Hari Guru Cikgu!
Selamat Hari Jumaat juga.
No comments:
Post a Comment