Thursday 19 December 2013

Qiamullail

 

Nanobots, nanomites ataupun nano emas adalah teknologi terkini yang disebut-sebut berupaya untuk menghasilkan superhuman atau dalam bahasa mudahnya manusia hebat. Beberapa tahun yang lalu, rancangan bersiri Jake 2.0 pernah ke udara di kaca televisyen yang menampilkan bagaimana seorang lelaki sederhana yang bertugas sebagai juruteknikal komputer berubah menjadi seorang superhuman setelah serpihan nanomites memasuki pembuluh darahnya secara tidak sengaja. Mengangkat benda berat, mendengar bunyi dari jarak 10 kilometer, melihat menembusi dinding konkrit dan berlari pantas adalah kebolehan yang mampu dilakukannya.

Sedar atau tidak, kita sebenarnya belum berjaya untuk menggunakan satu lagi teknologi yang mampu untuk menghasilkan manusia hebat yang lebih hebat. Teknologi ini telah wujud 1400 tahun yang lalu dan telah pun dibuktikan kemampuannya untuk menghasilkan superhuman yang mantap dari kaca mata Islam. Teknologi yang dimaksudkan ialah qiamullail.

Qiamullail boleh diertikan sebagai sembahyang malam, bermula daripada selesainya solat Isya’ hinggalah masuknya waktu Subuh. Sebelum turunnya perintah Allah berkenaan qiamullail ini, umat Islam di Makkah pada ketika itu masih lagi sembahyang secara sembunyi-sembunyi di lembah-lembah. Imam Ahmad meriwayatkan dari Aisyah ra. bahawa dengan turunnya ayat 1-7 daripada surah al-Muzammil ini maka qiamullail menjadi ibadah yang wajib.  Kewajipan ini bertahan selama setahun hingga akhirnya di akhir surah tersebut Allah menurunkan keringanan sehingga qiamullail menjadi sunnah hukumnya.
 

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah pada malam hari kecuali sebahagian kecil, iaitu separuhnya atau kurang sedikit daripada itu, atau lebih daripada itu, dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu. Sungguh, bangun malam itu lebih kuat dan lebih berkesan. Sesungguhnya pada siang hari engkau sangat sibuk dengan urusan-urusan yang panjang.”

Allah tidak memerintahkan qiamullail untuk mempersulit manusia bahkan sebenarnya untuk memperkuatnya.  Dengan qiamullail, seorang Muslim akan memperoleh tenaga tambahan yang dikatakan ‘super’ untuk menggalas tugas-tugas yang sangat berat.  Bagaimana proses munculnya kekuatan tersebut?  Tentulah tidak dengan tiba-tiba, tetapi semua itu melalui proses merutinkan qiamullail dalam hidup hinggalah ke tingkatan kekhusyukannya.

Superhuman pada kaca mata Islam bukanlah seorang manusia yang kebal tubuh badan mahupun yang boleh terbang ke udara, tetapi superhuman ini adalah mereka yang beriman, bertakwa dan memiliki darjat yang tinggi lagi mulia di sisi Allah SWT. Mereka kebal daripada segala maksiat, mereka mampu memikul beban berat tugas sebagai khalifah di muka bumi, mereka mampu melihat kebesaran Allah dan mereka juga mampu mendengar arahan Allah dan Rasul dengan cahaya hati mereka.

Jadi, apakah kehebatan qiamullail sehinggakan Rasulullah saw konsisten mengamalkannya hingga kedua-dua tapak kakinya pecah-pecah? Hebatkah qiamullail sehingga Salahudin al-Ayubi memilih mereka yang bangun malam sebagai barisan mujahidin paling hadapan untuk menggempur musuh? Ataupun sehingga Umar Abd Aziz berkata, “  Bagaimana mata ini dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan kembali di antara dua tempat..” berulang-ulang?

Menjadi ahli syurga.

Dari Abdullah bin Salam r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda;”Hai sekalian manusia, ratakanlah salam, berikanlah makanan, bersolatlah di waktu malam sedang para manusia sedang tidur, maka engkau semua akan dapat memasuki syurga dengan selamat.” (HR Tirmidzi).

Menjadi orang yang bertakwa



Firman Allah swt: “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah di tempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang di berikan kepadanya oleh TUHAN mereka.Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikkan . Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristigfar kepada ALLAH (memohon ampun).”- Surah al-Zariyat : 15-18

Menjadi orang soleh

Rasulullah s.a.w bersabda, “Hendaklah kamu semua menetapi solat malam, sebab yang demikian itu adalah perilaku orang-orang yang soleh sebelum kamu.” (HR Tirmidzi)

Darjatnya tinggi di sisi Allah


“Dan pada sebahagian malam hari, sembahyang tahajudlah kamu sebagai satu ibadat tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat terpuji.” – (Surah al-Isra, ayat 79).

Allah mengasihinya

Dari Abu Hurairah r.a., sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun tengah malam lalu dia mengerjakan sembahyang dan membangunkan isterinya untuk turut sama bersembahyang.”
“Kalau isterinya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya. Dan Allah mengasihi seorang wanita yang bangun tengah malam untuk mengerjakan sembahyang lalu dia membangunkan suaminya untuk turut yang sama. Kalau suaminya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya.” (HR Abu Daud dengan isnad yang sahih)

Doanya mustajab

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya dari sebahagian malam itu ada satu waktu yang tidak menyamai kebaikannya bagi seorang muslim untuk memohonkan sesuatu yang baik kepada Allah ta’ala, melainkan Allah pasti akan mengabulkannya. Demikian itu ada pada setiap malam.” (HR Muslim)
 
Kajian saintifik juga telah banyak membuktikan bahawa solat umumnya dan solat malam khususnya mempunyai pelbagai kesan positif terhadap kesihatan tubuh badan. Sejenis udara segar pada satu pertiga malam sangat baik untuk pembersihan paru-paru, yang mana udara ini akan hilang sebaik sahaja masuknya waktu subuh. Kadar denyutan jantung juga menjadi rendah ketika sujud, keadaan ini amat baik untuk kesihatan jantung yang begitu kuat bekerja mengepam darah pada setiap masa.

Apa lagi hendak dikata? Teknologi sudah terpampang di hadapan mata, cuma kita sahaja yang belum memanfaatkannya untuk membentuk diri menjadi manusia yang hebat. Ingat, syurga hanya menerima orang-orang yang hebat! Akhir kalam, sedikit tips untuk membudayakan qiamullail dalam hidup:
  1. Percayalah kepada Allah. Allah sentiasa bersama kita dan Dia tidak akan menyusahkan kita. Hampirilah Dia dan mohonlah pertolongan daripadaNya.
  2. Cinta. Perasaan cinta adalah motivasi yang kuat. Jika kita bercinta dengan Allah, nescaya bibit-bibit rindu padaNya akan mendorong kita untuk mencariNya pada setiap malam.
  3. Qiamullail itu mudah! Ia tidak sulit, maka jangan mempersulitkannya. Solatlah mengikut kemampuan, walau sekadar dua rakaat.
  4. Kenali jam biologi anda. Tidurlah pada waktu yang tepat supaya dapat bangun pada waktu yang sesuai dengan diri. Sama ada anda perlu tidur  panjang atau pendek bergantung kepada genetik anda!
  5. Maafkanlah diri sendiri. Usahlah terlalu keras dalam menghukum diri kerana gagal bangun solat malam dan janganlah pula berputus asa. Bukankah Allah itu Maha Pengampun? Teruskan menyemai niat sebelum tidur dan berusahalah untuk bangun mengutip hasil semaian itu.
Copy paste from sini

1 comment:

  1. Terima kasih atas peringatan, kalau kita lihat orang-orang bukan islam juga ada buat kajian tentang bangun awal pagi, iaitu katanya join the 5 o clock club, antara langkah yang berkesan untuk mendisiplinkan diri.
    Dalam surah Al Muzammil juga ada mengatakan bacaan ketika waktu itu adalah lebih bagus, jadi buat student macam kita ni, mungkin juga antara sebab kenapa kita perlu amalkan qiamullail.

    ReplyDelete